Syarat-syarat wajib haji dan umrah itu adalah sama sahaja iaitu:
- Islam
- tidak wajib atas orang kafir dan murtad - Baligh
- tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya bila baligh - Berakal
- tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya - Merdeka
- Hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala - Berkuasa / Kemampuan
- Berhubung dengan berkuasa atau berkemampuan, ini ialah berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
" Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan di antara mereka" (Surah Ali Imran ayat 97)
Dalam masalah berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakan haji dan umrah ini adalah berkuasa kepada dua bahagian:-
a) Berkuasa atau berkemampuan dengan sendiri; dan
i) Berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain untuk melakukan pekerjaan haji dari mula hingga akhir.
ii) Mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang dibawah tanggungannya,
iii) Ada kenderaan pergi dan balik,
iv) Aman dalam perjalanan, yakni tidak ada marabahaya yang mengancam keselamatan diri dan harta. Ini termasuklah juga tidak ada penyakit yang membahayakan tubuh badan,
v) Sihat tubuh badan,
vi) Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.
Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Dari Anas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w ditanya " Apakah yang dimaksudkan dengan "sabil"? Rasulullah s.a.w. menjawab: " Bekalan dan perjalanan" . Riwayat- Daruqutni
b) Berkuasa dengan bantuan orang lain.
i) Orang yang mempunyai cukup syarat wajib haji, tetapi tidak dapat mengerjakan hajinya sendiri kerana keuzuran dan sakit yang tidak ada harapan akan sembuh, atau telah terlalu tua umurnya serta telah putus asa tidak dapat pergi sendiri menunaikan hajinya.
ii) Orang yang telah meninggal dunia yang berupaya semasa hidupnya, tetapi tidak mengerjakan haji, maka terhutanglah fardu haji atasnya sehingga warisnya atau orang yang menerima wasiatnya menunaikan hutang hajinya itu dengan upah atau secara sukarela.
Dalam masalah mengerjakan haji untuk orang lain atau upah haji ini, Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Dari Laqit bin Amir r.a bahawa dia telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: " Bahawa bapa saya seorang yang telah tua, tidak berdaya menunaikan haji dan umrah, dan tidak berkuasa mengikuti rombongan atau berjalan untuk mengerjakan haji atau umrah" Rasulullah s.a.w. bersabda : " Tunaikanlah haji untuk bapamu dan umrahnya sekali". Riwayat - Abu Daud dan Tarmizi
SYARAT - SYARAT WAKIL ATAU ORANG MENGAMBIL UPAH HAJI
Syarat-syarat untuk menjadi wakil atau mengambil upah menunaikan haji orang lain ialah:-
- Orang itu telah pun menunaikan fardu haji untuk dirinya sendiri dengan sempurnanya, Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:- "Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki berkata ketika mengerjakan haji: " Aku sahut seruan mengerjakan haji menggantikan Syubrumah". Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya: "Sudahkah engkau mengerjakan haji untuk diri engkau sendiri" ? Jawab lelaki itu, "Belum". Rasulullah s.a.w berkata kepadanya, kalau begitu hendaklah engkau kerjakan haji untuk diri engkau sendiri dahulu, kemudian engkau kerjakan haji untuk Syubrumah pula" (Riwayat-Abu Daud dan Ibnu Majah)
- Hendaklah melakukan fardu haji untuk seorang sahaja bagi satu musim haji.
- Mestilah berihram pada miqat orang yang dihajikan itu atau pada tempat yang sama jauhnya dengan miqat itu. Jika ditentukan kepadanya, maka hendaklah dia berihram pada sesuatu miqat yang ditentukan, jika tidak ditentukan, maka haruslah bagi orang yang mengambil upah itu berihram pada miqat yang dilaluinya. Bagi orang yang berada di Mekah yang mengambil upah haji, maka wajiblah dia keluar kepada miqat yang dihajikannya, atau boleh juga pada mana-mana miqat yang lebih hampir kepadanya. Jika dia berihram daripada miqatnya (di Mekah) nescaya berdosa dan wajib atasnya dam.
- Hendaklah seorang yang cukup mahir bagi mengerjakan ibadat haji itu dengan sempurnanya, seperti dia mengerjakan haji untuk dirinya sendiri.
HUKUM ORANG YANG TIDAK MENUNAIKAN HAJI SETELAH CUKUP SYARAT WAJIBNYA
Bagi orang yang telah cukup syarat-syarat wajib haji tetapi tidak segera menunaikannya tiba-tiba dia meninggal dunia, maka sangatlah besarlah dosanya, kerana boleh menyebabkan dia mati sebagi seorang Nasrani danYahudi. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:- "Dari Ali r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa yang ada mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia tidak menunaikan haji,maka tidak ada halangan ke atasnya jika dikehendaki matinya sebagai yahudi atau Nasrani. Dan yang demikian itu, sesungguhnya Allah berfirman dalam kitab-Nya (Al-Quran ) "Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah". (Riwayat - Turmizi)
HAJI DAN UMRAH KANAK-KANAK
Haji dan Umrah yang dikerjakan oleh kanak-kanak (yang belum akil baligh atau cukup umur) hukumnya adalah sunat sahaja dan wajiblah dikerjakan sekali lagi apabila baligh nanti. Senagaiman dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Nabi s.a.w bersabda "Siapa dari kanak-kanak mengerjakan haji, maka apabila dia cukup umur, wajiblah dia mengerjakan haji sekali lagi". (Riwayat - At - Tabarani)
HAJI BAGI WANITA
Seperti lelaki, wanita juga wajib menunaikan fardhu haji jika cukup syarat-syarat wajibnya seperti yang telah disebutkan dahulu. Tetapi ada syarat tambahan bagi wanita yang hendak menunaikan fardu haji iaitu:-
Hendaklah ditemani oleh suaminya atau muhrimnya (iaitu orang haram nikah dengannya), atau dengan sekurang-kurangnya tiga orang perempuan yang boleh dipercayai dan;Dengan izin suami atau walinya. Berhubung dengan larangan pergi haji bagi wanita tanpa muhrim ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya Nabi, s.a.w bersabda: "Janganlah seseorang perempuan pergi musafir kecuali beserta muhrimnya, janganlah seseorang lelaki mendatangi perempuan kecuali perempuan itu berada dengan muhrimnya". Lalu seorang lelaki bertanya kepada Nabi s.a.w. " Ya Rasulullah, saya hendak pergi berperang tetapi isteri saya hendak pergi menunaikan fardhu haji" Nabi s.a.w. menjawab, " Pergilah haji bersama isterimu" (Riwayat - Bukhari) Disyaratkan bagi lelaki yang menemankan perempuan itu, dan hendaklah jangan berada jauh dari perempuan itu supaya diketahui orang bahawa lelaki itu menemani dan menjaganya. Jika tidak ada lelaki menemankan perempuan itu, maka memadai juga ditemani oleh tiga orang perempuan yang boleh dipercayai.
Mengenai hukum segera menunaikan fardhu haji setelah cukup syarat-syarat wajib haji, menurut Imam Syafie adalah sunat iaitu tidaklah berdosa menangguhkannya asalkan sahaja ditunaikan pada sebarang waktu sebelum meninggal dunia Dalil atau alasan yang diberikan ialah fardhu haji itu telah diwajibkan pada tahun ke enam selepas hijrah, tetapi Nabi s.a.w menangguhkan pelaksanaan haji hinggalah pada tahun kesepuluh, barulah Nabi s.a.w bersama-sama para sahabat pergi menunaikan fardhu haji, walaupun mereka telah berkuasa pergi pada tahun ketujuh, kelapan atau kesembilan. Sekiranya wajib dikerjakan segera sudah tentulah Nabi s.a.w tidak akan menangguhkannya.